Pembunuh Upahan Paling Dikehendaki Berjaya Di Berkas!!

Posted on September 24, 2013

0


Pembunuh upahan dikenali sebagai Jian atau digelar Si Empat Mata (Sei Ngan Chai) yang amat dikehendaki polis selepas terbabit menembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AMBANK) Hussain Ahmad Najadi, 75, pada 29 Julai lalu berjaya ditangkap polis di sebuah rumah di Taiping, Perak, dekat sini, malam tadi.

Pembunuh Upahan

Lelaki itu berusia 44 tahun yang juga suspek utama kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi berjaya ditangkap kira-kira jam 12.30 malam selepas bersembunyi di sebuah rumah di Taman Larut Tin Tambahan, Taping, Perak, dekat sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kejayaan menangkap suspek terbabit selepas polis mengeluarkan maklumat berkaitan lelaki itu di media massa dan hasil maklumat daripada orang awam serta risikan yang dijalankan.

Menurutnya, selain itu, pihaknya turut menahan dua lelaki di kediaman terbabit berusia 26 dan 31 tahun kerana disyaki memberi perlindungan kepada suspek.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita sedang mengesan senjata api yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Media IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Khalid berkata, dua rakannya yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas maklumat orang ramai dan usaha gigih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur membuahkan hasil apabila berjaya menangkap suspek utama kes pembunuhan ini,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pengasas AMBANK Hussain Ahmad Najadi, 75 ditembak seorang lelaki di sebuah tokong Cina di Jalan Ceylon menyebabkan beliau maut di tempat kejadian selepas terkena dua tembakan di dada dan rusuk kiri.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49, turut ditembak menyebabkan beliau cedera dan dirawat di Hospital Tung Shin.

Sumber: Harian Metro

Advertisements
Posted in: Panas